Tinjau Pilihan Rawatan Anda
Rawatan penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang paling sesuai dengan keperluan fizikal, emosi dan gaya hidup anda boleh meningkatkan kualiti hidup dan memberi anda ketenangan fikiran.
Kebanyakan penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) menjalani rawatan dialisis – sama ada di rumah atau di klinik. Dialisis ialah proses penyingkiran sisa buangan dan bendalir berlebihan daripada darah anda apabila buah pinggang anda tidak lagi dapat berbuat demikian. Dialisis membantu membersihkan darah anda melalui membran, yang mimik fungsi buah pinggang sihat. Membran ini boleh berbentuk sintetik, seperti penapis alat dialisis, atau mungkin berbentuk semula jadi, seperti membran peritoneum. Semasa rawatan dialisis, sisa buangan halus dalam darah anda mengalir melalui membran ini dan masuk ke dalam bendalir dinamakan dialisat, lantas membersihkan darah anda.
Dialisis Peritoneal (PD) di Rumah
Dialisis Peritoneal (PD) membersihkan darah anda semasa larutan dialisis berada dalam rongga peritoneum, menggunakan dinding abdomen (membran peritoneum) anda sebagai penapis. Oleh yang demikian, dialisis boleh dilakukan di rumah, di tempat kerja, atau semasa mengembara, sama ada oleh anda sendiri atau dengan sokongan seorang penjaga. Anda boleh melakukan dialisis peritoneal (PD) pada waktu siang atau semasa anda tidur. Ini memberikan fleksibiliti kepada anda untuk merancang rawatan dialisis anda berasaskan jadual harian anda. Dialisis Peritoneal (PD) ialah rawatan yang perlu dilakukan setiap hari.
Hemodialisis di Pusat Rawatan (HD di Pusat)
Hemodialisis (HD) boleh juga dilakukan di hospital atau klinik dialisis di bawah pengawasan pakar klinikal anda. Hemodialisis di pusat rawatan (HD di pusat) lazimnya memerlukan anda untuk pergi ke hospital atau klinik 3 kali seminggu dalam menjalani rawatan yang memakan masa antara 3 dan 5 jam setiap kali. Rawatan anda akan dipantau dengan rapi, dan anda boleh mengajukan soalan secara bersemuka. Di samping itu, anda akan dapat bersama pesakit lain yang menerima rawatan sama.
Pilihan Rawatan Lain untuk Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD)
Selain dialisis, terdapat pilihan rawatan lain yang anda boleh dipertimbangkan. Jika anda memenuhi syarat yang ditetapkan, anda boleh mempertimbangkan pemindahan buah pinggang. Bagi sesetengah pesakit, penjagaan konservatif tanpa rawatan dialisis mungkin pilihan yang sesuai.