Mengembara dengan Dialisis
Dialisis tidak seharusnya menghalang anda daripada mengembara atau melancong ke luar negara. Di sini anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang persediaan yang perlu anda buat untuk melakukan rawatan dengan selamat semasa anda berada di perantauan.
Bagi ramai penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD), keupayaan untuk bergerak dan mengembara adalah sebahagian daripada perkara penting di dalam usaha untuk kekal berdikari. Anda mungkin perlu mengembara untuk bekerja atau atas tuntutan keluarga atau anda mahu melancong kerana seronok melakukannya. Walaupun pengembaraan dengan dialisis mungkin memerlukan persediaan khusus, anda masih berpeluang untuk memenuhi keinginan anda untuk mengembara.
Bolehkah Saya Mengembara Semasa Saya Menjalani Rawatan Dialisis?
Ya, kebanyakan pesakit dialisis boleh mengembara dan meneruskan rawatan mereka semasa berada jauh dari rumah. Malah, pakar klinikal anda mungkin menggalakkan anda untuk mengembara, kerana kebaikannya kepada emosi anda. Anda perlu berbincang dengan pakar klinikal anda sebelum anda membuat sebarang rancangan perjalanan supaya mereka boleh memberi nasihat dalam hal keselamatan dan persiapan agar anda mematuhi jadual rawatan semasa anda pergi.
Bolehkan Saya Mengembara Semasa Saya Dalam Senarai Menunggu Pemindahan Buah Pinggang?
Ya, anda juga boleh mengembara semasa anda aktif dalam senarai menunggu pemindahan buah pinggang. Bagaimanapun, anda perlu memberitahu penyelaras yang bertanggungjawab untuk pemindahan buah pingganga anda tentang rancangan perjalanan anda. Mereka akan menasihati anda tentang sama ada anda sempat pulang dari destinasi pengembaraan anda atau tidak untuk menerima pemindahan buah pinggang, sekiranya penderma boleh didapati semasa anda tiada. Jika tidak, anda boleh juga memilih untuk “tangguhkan buat sementara” sepanjang masa anda di luar negara. Anda perlu mendapatkan maklumat yang tepat tentang sama ada proses ini boleh dilakukan untuk senarai menunggu tertentu. Jadi, anda perlu bertindak proaktif dengan mencari jawapan kepada soalan-soalan ini sebelum anda membuat rancangan untuk meninggalkan rumah anda.
Mengembara Sambil Menjalani Rawatan Dialisis Peritoneal (PD)
Oleh kerana keperluan bekalan untuk pesakit dialisis peritoneal (PD) boleh dihantar ke destinasi pengembaraan, mereka selalunya hanya perlu membawa pengitar (jika mereka menjalani rawatan Dialisis Peritoneal Automatik). Ini bermakna lebih mudah untuk mengembara dengan PD daripada dialisis jenis lain. Biarpun anda menjalani rawatan dialisis peritoneal (PD), anda tetap perlu membuat rancangan lebih awal untuk menentukan bagaimana anda akan membawa segala keperluan yang anda perlukan untuk rawatan, atau merancang penghantaran bekalan produk rawatan.
Mengembara Semasa Menjalani Rawatan Hemodialisis di Pusat Rawatan (HD di Pusat)
Jika anda menerima rawatan hemodialisis di pusat rawatan (HD di Pusat), anda perlu mengatur terlebih dahulu temu janji rawatan di pusat rawatan yang berhampiran dengan destinasi anda. Kebanyakan pusat rawatan mempunyai pengalaman menyelaraskan rawatan untuk pesakit dalam perjalanan. Jadi, pastikan anda bertanya pasukan penjagaan kesihatan anda sama ada terdapat seseorang di pusat rawatan anda yang boleh membantu anda.
Apakah langkah seterusnya?
Senaman dan Dialisis
Menjaga kesihatan fizikal boleh membantu anda memanfaatkan sepenuhnya rawatan anda. Ketahui cara-cara untuk anda boleh kekal aktif semasa menjalani rawatan dialisis.
Mengamalkan Diet Mesra Buah Pinggang
Diet yang mesra buah pinggang boleh membantu anda rasa sihat dan melakukan yang terbaik sepanjang perjalanan rawatan anda. Ketahui lebih lanjut tentang diet dan dialisis anda.
Hubungan intim
Anda boleh mengekalkan hubungan intim sepanjang rawatan dialisis anda. Ketahui lebih lanjut tentang keintiman dan dialisis.