Berbincang Tentang Penyakit Anda
Anda mungkin mendapati sukar untuk berbincang tentang penyakit anda secara terbuka, tetapi langkah ini akan membantu anda membina kepercayaan dan mendapatkan sokongan emosi dan praktikal yang anda perlukan untuk hidup sejahtera dengan dialisis.
Berbincang tentang penyakit anda boleh meringankan beban untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan penghidap buah pinggang kronik (CKD).
Perbincangan dengan orang-orang tersayang tentang realiti baharu yang anda hadapi mungkin mencabar tetapi memang bermakna. Bantuan dan sokongan mereka amat berharga sepanjang perjalanan rawatan dan tindakan anda berkongsi lebih awal dengan mereka akan memastikan anda berpeluang untuk mendengar pandangan, kemusykilan, keperluan dan penerimaan mereka.
Suami, Isteri, Pasangan atau Teman Hidup Anda
Jika anda ada suami/isteri, pasangan atau teman hidup, anda mungkin mahu mereka menjadi tunggak utama yang memberikan sokongan emosi sepanjang perjalanan rawatan anda. Lebih-lebih lagi jika merekalah penjaga atau insan yang memberikan sokongan semasa anda menjalani rawatan dialisis. Sebaik-baiknya anda perlu berbincang denganmereka tentang cara rawatan anda sedikit sebanyak akan mempengaruhi kehidupan harian anda berdua dan rancang bagaimana untuk menangani perubahan peranan dan jangkaan dalam rumah tangga anda.
Keluarga Anda
Di satu peringkat perjalanan rawatan, anda mungkin perlu memberitahu keluarga tentang keadaan anda. Bersikap terbuka tentang penyakit anda dengan orang yang paling rapat dengan anda boleh membantu mereka memahami apa yang sedang anda lalui.
Keluarga anda juga boleh menjadi tunggak sokongan anda. Sebagai contoh, mereka boleh menghantar anda pergi dan balik dari tempat rawatan. Jika anda menjalani PD atau rawatan HD di rumah, mereka boleh menyokong anda dengan membantu anda melakukan rawatan anda. Jika tidak, mereka mungkin sanggup membantu anda menunaikan tuntutan peribadi atau keluarga, seperti kerja menguruskan dan mengemas rumah atau menjaga anak kecil.
Rakan-Rakan Anda
Aktiviti sosial anda mungkin terjejas bergantung pada rawatan yang anda pilih. Ini tidak bermakna aktiviti sosial anda selama ini akan berakhir di sini. Beritahu rakan-rakan bahawa anda masih boleh menyertai kegiatan yang anda gemari sebelum diagnosis – walaupun anda perlu berunding dengan pakar klinikal terlebih dahulu – dan anda mahu mereka turut melibatkan anda kalau boleh. Mereka juga mungkin boleh mencuba sesetengah aktiviti baharu yang boleh dilakukan bersama anda. Malah jika anda memilih untuk menjalani hemodialisis di pusat (HD di Pusat), anda juga berpeluang membuat kawan baru!
Majikan dan Rakan Sekerja Anda
Anda masih boleh bekerja semasa menjalani rawatan dialisis. Mungkin anda perlu terus bekerja demi kesejahteraan fizikal, mental dan kedudukan kewangan anda. Jika anda perlu menyesuaikan jadual kerja supaya sejajar dengan rawatan, anda hendaklah berbincang secara jujur dan terbuka dengan majikan tentang keadaan anda.
Merawat Penyakit Buah Pinggang (CKD) Seorang Diri
Jika anda rasa lebih sesuai bagi anda melalui perjalanan rawatan seorang diri, ketahuilah bahawa anda boleh berbincang dengan pasukan penjagaan kesihatan untuk nasihat dan sumber yang memudahkan hidup anda semasa menjalani rawatan dialisis. Mereka seharusnya boleh menasihati anda tentang cara memanfaatkan sepenuhnya rawatan dan cara mengimbangi rawatan dengan tanggungjawab profesional dan peribadi atau merujukkan anda kepada seseorang yang boleh membantu. Perbincangan terbuka dengan pasukan penjagaan kesihatan tentang keadaan anda ialah cara yang terbaik untuk memanfaatkan sokongan berharga yang boleh diberikan oleh mereka.
Apakah langkah seterusnya?
Menangani Emosi Anda
Cara anda menangani emosi sepanjang rawatan boleh memberikan kesan ketara terhadap kesejahteraan anda.
Hubungan intim
Anda masih boleh mengekalkan hubungan intim semasa menjalani rawatan dialisis. Ketahui lebih lanjut tentang hubungan intim dan dialisis.
Diet dan Dialisis
Diet mesra buah pinggang boleh memainkan peranan untuk memastikan anda rasa lebih sihat dan melakukan yang terbaik sepanjang perjalanan rawatan. Ketahui lebih lanjut tentang diet dan dialisis anda.